Friday, January 15, 2010

CINTA RASUL


Dari Abu Musa R.A, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perumpamaan apa yang dengannya aku diutus oleh Allah iaitu daripada hidayah dan ‘ilmu adalah bagaikan hujan yang lebat yang mengenai bumi.

Maka sebahagiannya adalah kelompok tanah yang subur, menerima kehadiran air dan menumbuhkan ladang gembala serta rumput yang banyak, sebahagian lagi adalah tanah ajadib; iaitu tanah yang boleh menahan air sehingga dengannya Allah member manfaat kepada manusia mereka boleh minum daripadanya, menyiram air dan bercuck tanam.

Dan hujan tadi juga mengenai jenis tanah yang lain iaitu qi’an; tidak boleh menahan air dan tidak boleh menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Begitulah perumpamaan orang yang mengerti agama Allah dan mengambil manfaat dari apa yang Allah mengutusku dengannya. Sehingga dia mengerti dan mengajarkannya. Juga perumpamaan orang yang sama sekali tidak peduli dengan (agama) itu dan tidak mahu menerima petunjuk Allah yang aku diutus kerananya.”
(H.R Bukhari-Muslim)

Berdasarkan hadith di atas, jelas sekali kelahiran Rasulullah SAW itu adalah rahmat; seperti hujan yang turun membawa rahmat kepada bumi serta isinya. Begitulah Rasulullah. Kehadirannya membawa seribu erti, sebagaimana air hujan yang turun dan membawa bersamanya seribu manfaat yang telah dikurniakan oleh Allah. Selari dengan ayat Allah di dalam al-Quran;

“dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(al-Anbiya’:107)

Dan Rasulullah SAW juga telah memberitakan di dalam hadith tersebut bahawa hidayah dan ‘ilmu yang diutuskan oleh Allah bersamanya seumpama hujan yang mengenai beberapa jenis tanah. Pertama, tanah yang subur dan mampu menerima air dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Kedua, tanah jenis ajadib, iaitu tanah yang boleh menahan air dan seterusnya air itu mampu digunakan oleh manusia sebagai manfaat.

Manakala tanah yang ketiga adalah tanah jenis qi’an yang tidak membawa apa-apa manfaat. Tidak boleh menahan air, dan tidak boleh menumbuhkan tumbuhan.

Tanah yang pertama dan kedua, boleh diandaikan seumpama orang yang memahami agama Allah, mengerti dan kemudian mengajarkannya. Merekalah yang memahami ayat Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah dengan sebenar-benarnya. Dan merekalah yang memberi manfaat kepada manusia lain berdasarkan pemahaman mereka kepada Kitab Allah dan juga Sunnah.

Manakala tanah yang ketiga pula, seumpama orang yang tidak mahu menerima ajaran Allah melalui utusanNya; Muhammad SAW, dan tidak pula memberi apa-apa manfaat berdasarkan kefahamannya asalnya (agama asalnya).

Maka sewajarnya kita menghargai kehadiran Rasulullah dengan meluahkan rasa cinta kita kepada baginda. Siapalah kita tanpa utusan Allah itu? Bahkan, rasa cinta kepada Rasulullah adalah salah satu syarat kepada kesempurnaan iman.

Daripada Anas bin Malik R.A daripada Nabi SAW, sabda baginda: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya mengatasi selain keduanya. Kedua, hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintai kerana Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka.”
(H.R Bukhari-Muslim)

Lihatlah bagaimana kecintaan yang mendalam kepada Allah dan Rasul-Nya mampu membawa seseorang untuk merasa kemanisan iman. Ini bukanlah perkara yang enteng. Firman Allah di dalam al-Quran al-Karim;

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Ali ‘Imran:31)

Golongan yang mengikuti Rasullah adalah dari kalangan orang yang mencintai Allah. Merekalah hamba yang dikasihi oleh Allah dan diampunkan dosa-dosa mereka oleh Allah. Dan seperti mana kita ketahui, golongan yang mengikuti ajaran Rasulullah adalah orang yang mencintai baginda.

Lihat sajalah pada sejarah apabila para sahabat yang menerima ajaran Islam sanggup melakukan apa sahaja demi kecintaan mereka kepada Rasulullah serta agama yang haq. Sahabat-sahabat seperti Abu Bakr, Umar, Uthman, Abu Hurairah, dan lain-lain sanggup mengorbankan harta mereka, juga masa mereka untuk mendampingi Rasulullah semata-mata untuk menzahirkan rasa cinta mereka selain untuk mengakkan syiar Islam.

Berikut adalah komentar al-Hafiz Ibn Kathir mengenai ayat tersebut:
“Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwa sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataam, perbuatan dan hal ehwalnya seperti yang pasti dalam shahih al-Bukhari daripada Rasulullah SAW:
Sesiapa yang beramal dengan satu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka ianya tertolak.”

Jadi dapat dijelaskan di sini adalah bahawa sesiapa yang mencintai Allah, maka dia mengikuti apa yang telah Muhammad SAW sampaikan. Dan seperti apa yang telah dijelaskan sebelum ini, golongan yang mengikuti Rasulullah SAW adalah dari kalangan mereka yang mencintai baginda.
Dan bagaimana pula kita menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW?

Kita nilaikan.
Daripada Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Demi jiwaku berada di tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku dikasihi olehnya lebih daripada ayah dan anaknya.”
(H.R Bukhari-Muslim)

Rasulullah SAW telah memberitakan di dalam hadith baginda bahawa tiada sempurna keimanan seseorang Muslim melainkan dia mengasihi baginda melebihi bapa atau anak yang dilahirkannya. Maka sudah jelas bahawa kecintaan Rasulullah itu adalah satu kecintaan yang sangat tinggi dan perlu dipamerkan tanpa memerlukan hari-hari yang tertentu.

Tiada perlunya kita untuk memilih tarikh-tarikh yang khusus untuk kita pamerkan kadar kecintaan terhadap Rasulullah SAW. Lihatlah bagaimana perumpamaan yang telah diberikan oleh Rasulullah: “tidak beriman seseorang kamu sehingga aku dikasihi olehnya lebih daripada ayah dan anaknya.” Maka sebagaimana kecintaan kita terhadap bapa, mahupun anak kita yang tiada perlu hari yang khusus untuk dipamerkan, begitu juga dengan cara mencintai Rasulullah; iaitu tidak memerlukan tarikh, hari mahupun masa yang khusus. Bahkan lebih daripada itu.
Dan cara yang terbaik untuk mempamerkan kecintaan kepada Rasulullah adalah dengan cara mengamalkan sera meng-ihya’-kan Sunnah baginda Rasul. Inilah yang dipanggil sebagai ‘al-Hubb Wa al-Ittiba’ iaitu cinta (Hubb) akan Rasulullah dan mengikuti (Ittiba’) segala Sunnah Rasulullah SAW.

Tidak memadai hanya mencintai Rasulullah tanpa mengikuti ajarannya. Maka, bagi yang mencintai Rasulullah akan mengikuti Sunnah baginda tanpa sesekali meninggalkannya sehingga luput. Inilah yang dipanggil sbagai men-lestari-kan Sunnah.

Dari Jabir R.A, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaanku dan perumpamaanmu adalah seperti lelaki yang menyalakan api, maka semua belalang, kupu-kupu dan laron berkerumun (berjatuhan) dalam api itu, sementara dia berusaha melindunginya dari api (supaya tidak terjatuh ke dalam api). Dan aku adalah orang yang memegangi pinggang kamu sementara kamu banyak yang lepas dari kedua tanganku.”
(H.R Muslim)

Rangkap “dan aku adalah orang yang memegangi pinggang kamu sementara kamu banyak yang lepas dari kedua tanganku” sepatutnya membawa seribu erti kepada kita. Di kala Rasulullah SAW meluahkan segalanya untuk mengeluarkan kita dari azab neraka. Kita pula berlewa dengan berlepas diri daripadanya. Segala yang baik telah Rasulullah sampaikan melalui Kalam Allah serta Sunnah baginda.


Cinta ku pada Rasul tidak bertepi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak berbelah bahagi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak ‘kan sepi
Cinta ku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada Rasul tidak mengenal hari
Cintaku pada Rasul hingga ke mati,
Cinta ku pada rasul bukan kepalang
Buktinya ada; Sunnahnya ku julang.

2 comments:

  1. Teringat lagu 5 cinta....
    hahahahaha
    miss you guyz... bro n sis!

    ReplyDelete